Kanak-kanak pada usia ini sering mengalami kehilangan gigi susu di bahagian hadapan atau tumbuhnya gigi geraham yang pertama. Jika kanak-kanak ini telah biasa dengan makanan manis dan mengambilnya dengan kerap, ini akan meningkatkan risiko karies kepada gigi kekal. Justeru, ibu perlu mengurangkan pembelian makanan ringan bergula dan menggantikannya dengan makanan lain yang memberi kurang risiko karies seperti kekacang, keropok beras dan buah-buahan.
Pada peringkat ini, ramai ibu menganggap anak-anak mereka boleh memberus gigi sendiri. Namun, ibu harus sentiasa membantu kerana kemungkinan plak tidak disingkirkan dengan berkesan. Oleh kerana gigi diberus dua kali sehari pada waktu pagi dan malam, penjaga boleh membantu di waktu malam dan benarkan anak untuk memberus sendiri di waktu pagi. Ini membolehkan ibu memantau keberkesanan anak-anak mereka memberus gigi dan melatih mereka untuk melakukannya sendiri apabila mereka semakin membesar.