Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi mencatatkan rekod terbaiknya dalam sepanjang 16 tahun lalu selepas berjaya memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 2.75 dengan 80 orang calon yang menduduki peperiksaan STPM pada tahun lepas.
Salah seorang calonnya, Wong Siong Cheng dianugerahkan pelajar terbaik sekolah itu selepas mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00, sementara seramai 28 orang calon memperolehi PNGK 3.00 ke atas.
“Ini merupakan rekod terbaik kita, sepanjang 16 tahun lalu dan pada tahun 2003 ada beberapa pelajar kita yang mendapat keputusan cemerlang tetapi keputusan tahun 2018 ini adalah yang terbaik,” demikian menurut pengetua sekolah, Maria Jau.
“Selain Wong Siong Cheng, pelajar terbaik yang memperolehi lebih daripada PNGK 3 ialah Wong Chong Yang ( PNGK 3.75), Diana Dimong (PNGK 3.75), Tay Heng Ping (PNGK 3.83) dan Stanly Molly Gira yang mendapat PNGK 3.92,” katanya.
Berucap di majlis penyampaian slip peperiksaan STPM di dewan sekolah berkenaan di sini, hari ini, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang diperolehi oleh pelajarnya, sekali gus tidak membataskan mereka sebagai sebuah sekolah di luar bandar.
“Saya berasa bangga dan gembira kerana tidak menjangka lebih 20 orang yang mendapat PNGK 3 ke atas. Keputusan pagi ini amat mengejutkan apabila kita mengetahui bahawa seramai 28 orang pelajar SMK Marudi berjaya memperolehi keputusan melebihi PNGK 3,” ujar beliau lagi.
Menurut Maria, pencapaian ini adalah langkah pertama mereka untuk memperolehi kecemerlangan keputusan dan menyeru pelajar Tingkatan 6 Atas supaya akan belajar lebih rajin dan mencapai keputusan cemerlang malah lebih baik daripada tahun 2018.
Berikutan itu juga, beliau memberi semangat kepada bekas pelajar sekolah itu yang mendapatkan keputusan SPTM mereka hari ini supaya meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat tertinggi yang mampu mereka capai, dan seterusnya menjadi insan berguna bangsa dan negara.