Marudi merupakan salah satu tempat pengantara atau persinggahan bagi penduduk daripada kampung yang datang untuk membeli belah dan di bawa balik ke kampung sebagai stok makanan atau bekalan harian mahupun untuk dijual. Oleh yang demikian, di Marudi anda boleh melihat ramai masyarakat orang ulu yang datang ke Marudi bahkan ramai juga yang menetap di Marudi. Dengan itu, kuih muih tradisional orang ulu juga tidak asing lagi untuk didapatkan di Marudi. Berikut adalah beberapa jenis kuih-muih tradisional orang ulu:
1. Urum / Pulut Goreng
Urum atau pulut goreng merupakan salah satu kuih tradisional orang ulu yang terdiri daripada masyarakat kaum Kelabit, Kenyah, Kayan, dan lain-lain. Semestinya juga bagi kaum yang berlainan, sebutan bagi kuih ini juga turut berlainan. Misalnya Urum ini adalah sebutan bagi kaum Kelabit. Kuih ini kelihatan sangat sederhana serta bahan-bahan yang diperlukan juga tidak banyak. Namun, proses pembuatan serta mengorengnya agak rumit . Urum terdiri daripada beberapa jenis. Seperti yang tertera di dalam gambar ada Pulut Goreng Kosong dan Pulut Goreng Beras Merah. Selain itu, Pulut Goreng Ubi Kayu juga menjadi kesukaan ramai. Bahan-bahan asas yang digunakan untuk membuat pulut goreng adalah terdiri daripada tepung pulut, tepung beras, gula, garam dan air bersih. Kuih ini sangat sedap apabila dinikmati semasa masih panas bersama secawan kopi atau teh. Dalam keadaannya yang masih panas, anda boleh merasakan tekstur rangat pada kuih tersebut. Apabila kuih tersebut sudah sejuk, kerangupan itu tidak dapat dirasakan lagi.
2. Senape/Kelupis
Senape sebutan bagi kaum Kelabit atau lebih dikenali sebagai kelupis merupakan salah satu kuih yang menjadi tumpuan ramai Marudi. Kelupis ini bukan hanya suka dinikmati oleh masyarakat orang ulu dan Iban. Namun, penduduk yang berbangsa Cina juga turut menikmatinya dan lebih-lebih lagi sekiranya diletakkan inti daging. Cara pembuatannya juga sederhana cuma agak sedikit rumit apabila hendak dibungkus menggunakan daun isip. Kelupis perlu dibungkus semasa masih lagi panas supaya mudah untuk membentuk beras tersebut. Sekiranya dibungkus dalam keadaan sejuk, beras tersebut akan melekat dan mengeras lalu susah untuk dibungkus. Sebelum digoreng, beras pulut perlu direndam terlebih dahulu, bertujuan agar beras tersebut mengembang lalu digoreng dengan api yang kecil sehingga separuh masak. Setelah dibungkus rapi, masukan pula ke dalam bekas pengukus lalu dikukus sehingga masak. Kebiasaannya, kelupis ini lebih sedap apabila dinikmati bersama kari ataupun kuah satey.