Masjid merupakan tempat bagi penganut agama Islam untuk menjalankan aktiviti keagamaan mereka. Di Marudi juga tidak terlepas dengan adanya Bangunan Masjid yang dibina. Bangunan lama masjid ini telah dibina pada tahun 1972 di atas tanah yang disediakan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Hak Melayu Baram. Bangunan yang berusia 40 tahun telah digantikan dengan bangunan Masjid Baru As Salam Marudi. Bangunan ini mula dibina pada 28Mac 2006 dan telah siap sepenuhnya dibina pada 9 Oktober 2007. Sehingga pada hari ini, anda boleh melihat masjid ini masih lagi berdiri megah di Pekan Marudi. Keluasan masjid ini kira-kira dalam tiga ekar luas serta bersebelahan dengan masjid lama. Ruang solat di dalam masjid ini boleh menampung sehingga kira-kira 800 orang jemaah pada satu-satu masa. Bahkan, masjid ini mempunyai ruang legar yang boleh menempatkan tambahan 500 orang jemaah lagi. Masjid ini merupakan satu-satunya masjid besar yang boleh didapati di Pekan Marudi serta sebagai nadi bagi aktiviti keagamaan bagi masyarakat muslim di Marudi. Antara aktiviti yang seringkali dijalankan di masjid ini adalah solat, kelas bimbingan fardhu ain,program ziarah ilmu dan sebagainya.