Air Terjun Gudang merupakan salah satu tempat rekreasi yang selalu dikunjungi oleh penduduk Marudi pada hujung minggu atau pada masa cuti. Air terjun ini terletak di kawasan perkampungan orang Iban iaitu di Kampung Gudang, Marudi. Jarak daripada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Pekan Marudi ke air terjun tersebut mengambil masa lebih kurang 30-45 minit menggunakan kereta lalu berjalan kaki untuk masuk ke kawasan air terjun tersebut. Kawasan air terjun ini agak besar serta boleh melakukan aktiviti seperti memanggang, sukaneka dan bermain bola tampar pantai. Kebiasaannya, air terjun ini adalah jernih. Namun sekiranya hari hujan, air tersebut akan bertukar menjadi keruh. Kawasan air terjun ini juga turut dijaga dengan baik dan bersih. Walaupun demikian, tiada pembayaran yang diperlukan untuk memasuki kawasan tersebut. Oleh itu, ramai penduduk dalam Marudi atau yang di luar Marudi selalu mendatangi air terjun ini, serta tidak dinafikan bahawa kawasan ini merupakan kawasan yang sangat sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menjalin hubungan kekeluargaan serta persahabatan yang erat.
Logan Terikan Marudi
Bersantai di Lubok Terikan, perjalanan lebih kurang 20 minit dari Pengkalan Feri Marudi. Tujuan utama lawatan ke Lubok Terikan adalah untuk melihat projek ternakan ikan dalam sangkar yang telah diusahakan oleh Peladang Marudi bermula sejak April 1999. Asalnya Lubok Terikan merupakan sebahagian daripada lekukan Sungai Baram. Bagaimanapun bagi mempercepatkan lagi masa perjalanan menyusuri sungai tersebut, lekukan ini telah diputuskan "tarikan" dengan satu alur pintas yang dibuat khas dan akhirnya berjaya membentuk laluan baru selebar Sungai Baram seperti yang dapat dilihat pada hari ini.
Pada masa lampau, Lubok Terikan ini juga merupakan lubok yang menjadi sumber bekalan ikan air tawar utama buat penduduk sekitarnya khususnya dari Kampung Narum, Marudi. Memandangkan kawasan perairan lubok sesuai untuk dijadikan tempat memelihara ikan dalam sangkar, pihak Peladang Marudi telah mengambil inisiatif untuk memulakan projek ternakan ikan sangkar tersebut pada tahun 1999. Selain bersantai, memancing dan mandi-manda, mencari bela'ah atau kerang sungai juga aktiviti menarik yang harus dicuba oleh pengunjung.
Halaman 2 dari 2